GURUN – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas dirempuh sebuah lori panjang yang dipandu datuknya ketika mengundur kenderaan itu di Kampung Bukit Kuang, di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah yang dialami.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika lelaki berusia 61 tahun itu sedang mengundurkan lori yang dipandunya.
Menurutnya, mangsa dipercayai berada di belakang lori sebelum dirempuh, manakala datuknya tidak menyedari kehadiran cucunya ketika mengundurkan kenderaan tersebut.
“Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Rabu.
Beliau berkata, polis telah membuka dua kertas siasatan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur kecuaian dalam kejadian berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya dan turut disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat dan tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.









