POKOK SENA – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena mengusulkan agar kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkasakan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), pembelajaran pengekodan (coding), pendidikan teknologi serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di semua sekolah sebagai persediaan menghadapi ekonomi digital.
Ketuanya, Mohd Farhan Ahmad berkata, langkah itu penting bagi memastikan sistem pendidikan negara mampu melahirkan generasi yang bukan sekadar menggunakan teknologi, sebaliknya menjadi pencipta teknologi.
Menurutnya, perkembangan pesat Revolusi Industri 4.0 menyaksikan AI bukan lagi teknologi masa depan, malah telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.
“Negara-negara seperti Singapura, Korea Selatan dan China telah memperkenalkan AI, coding serta robotik kepada pelajar sejak di bangku sekolah.
“Persoalannya, adakah kita mahu anak-anak Malaysia hanya menjadi pengguna teknologi atau kita mahu mereka menjadi pencipta teknologi,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan AI secara beretika perlu diperluaskan sebagai alat bantu pembelajaran di sekolah, manakala subjek seperti coding, robotik, keselamatan siber, analisis data dan literasi digital wajar diperkasakan bagi melengkapkan murid dengan kemahiran abad ke-21.
Dalam masa sama, katanya, pendidikan TVET perlu diperkenalkan lebih awal kepada pelajar kerana laluan itu tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan kedua.
“TVET perlu diangkat sebagai laluan utama untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang automasi, teknologi pintar, kecerdasan buatan, kejuruteraan, elektronik dan industri digital.
“Langkah ini mampu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, di samping membuka lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada anak-anak muda,” katanya.
Mohd Farhan berkata, pendedahan awal terhadap kemahiran digital juga akan membolehkan pelajar bukan sahaja memperoleh pekerjaan, malah berupaya mencipta peluang pekerjaan melalui pembangunan aplikasi, e-dagang, pemasaran digital dan inovasi berasaskan AI.
Beliau turut menggesa kerajaan memastikan semua sekolah dilengkapi capaian internet berkualiti, makmal komputer moden serta latihan berterusan kepada guru bagi membolehkan teknologi AI diaplikasikan secara berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Katanya, Pemuda UMNO perlu menjadi pelopor kepada perubahan dalam sistem pendidikan negara dengan memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan yang menguasai teknologi dan mampu bersaing di peringkat global.
“Saya yakin dengan sokongan semua perwakilan, usul ini boleh diketengahkan ke peringkat negeri sebelum dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO sebagai agenda penting demi masa depan pendidikan negara.
“Pemuda UMNO tidak boleh hanya bercakap mengenai masa depan, tetapi mesti membina masa depan. Pendidikan berasaskan AI, TVET dan ekonomi digital merupakan pelaburan terbaik untuk melahirkan generasi yang menjadi peneraju dunia, bukannya sekadar pengguna teknologi,” katanya.









