Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Kedah memandang serius isu buli, keganasan dan masalah disiplin yang berlaku di institusi pendidikan negara.
Isu buli tidak boleh hanya ditangani selepas sesuatu kejadian berlaku. Kita perlu beralih kepada pendekatan pencegahan yang konsisten, pendidikan disiplin yang berterusan serta tindakan yang tegas dan adil.
Sehubungan itu, GPMS Negeri Kedah mengemukakan beberapa cadangan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM):
1. WUJUDKAN SESI “DISIPLIN DAN CEGAH BULI” DUA KALI SEBULAN
KPM dicadangkan supaya mewujudkan satu sesi khas selama 30 minit, dua kali setiap bulan, yang memberi fokus kepada Disiplin dan Cegah Buli.
Sesi ini boleh dikendalikan oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling, bersama guru disiplin dan pihak berkaitan.
Pengisian perlu meliputi pendidikan mengenai buli fizikal, verbal, emosi dan siber, kesan terhadap mangsa, kaedah melaporkan kejadian, tanggungjawab saksi, pengurusan konflik serta nilai hormat-menghormati.
Kita mahu pendidikan anti-buli menjadi budaya, bukannya sekadar kempen apabila berlaku kes.
2. WUJUDKAN JAWATANKUASA PARLIMEN MENANGANI KEGANASAN BULI DI SEKOLAH
GPMS Negeri Kedah turut mencadangkan supaya diwujudkan Jawatankuasa Parlimen Menangani Keganasan Buli di Sekolah di peringkat Parlimen Malaysia.
Jawatankuasa ini boleh menjadi platform untuk membincangkan secara serius:
* Isu buli dan keganasan di sekolah;
* Masalah disiplin dan jenayah melibatkan pelajar;
* Keberkesanan intervensi sedia ada;
* Perlindungan serta kebajikan guru;
* Peranan ibu bapa dan komuniti;
* Keperluan penambahbaikan dasar dan undang-undang.
Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang perlu duduk bersama.
Isu keselamatan anak-anak kita tidak seharusnya menjadi pertikaian politik. Kerajaan dan Pembangkang boleh berbeza pandangan dalam banyak perkara, tetapi dalam soal keselamatan murid dan masa depan generasi muda, kita sepatutnya mencari titik persamaan dan penyelesaian bersama.
3. GUBAL AKTA PERLINDUNGAN GURU
GPMS Negeri Kedah turut menggesa Kerajaan mempertimbangkan penggubalan Akta Perlindungan Guru bagi memberikan perlindungan dan kerangka perundangan yang lebih jelas kepada guru ketika melaksanakan tugas.
Guru perlu diberikan keyakinan untuk menegur, mendisiplinkan dan mengambil tindakan yang dibenarkan oleh peraturan apabila berlaku salah laku.
Pada masa yang sama, GPMS menegaskan bahawa perlindungan guru bukan bermaksud guru kebal daripada tindakan.
Jika berlaku salah laku oleh guru, siasatan tetap perlu dijalankan. Namun, guru yang menjalankan tugas secara profesional dan mengikut prosedur juga perlu mendapat perlindungan yang sewajarnya.
4. ELAKKAN PENYALAHGUNAAN SALURAN ADUAN SISPAA
GPMS Negeri Kedah juga menyeru supaya mekanisme aduan seperti SISPAA tidak disalahgunakan untuk memberikan tekanan kepada guru yang menjalankan tugas secara sah dan profesional.
Saluran aduan rakyat amat penting dan mesti terus dipelihara. Namun, setiap aduan perlu dinilai berdasarkan fakta, bukti dan proses yang adil, bukannya semata-mata berdasarkan dakwaan.
Jangan sampai guru menjadi takut untuk menegur murid.
Jangan sampai guru takut mengambil tindakan disiplin.
Dan jangan sampai akhirnya guru memilih untuk berdiam diri apabila melihat salah laku kerana bimbang menjadi sasaran aduan yang tidak berasas.
5. KITA PERLU KEMBALI MEMBINA BUDAYA DISIPLIN
GPMS Negeri Kedah percaya bahawa sekolah bukan sekadar tempat untuk mengejar pencapaian akademik.
Sekolah adalah tempat membentuk akhlak, disiplin, kepimpinan, tanggungjawab dan jati diri generasi masa hadapan.
Justeru, kita perlu membina budaya:
Tegas terhadap buli.
Tegas terhadap keganasan.
Lindungi mangsa.
Bimbing pelaku.
Hormati guru.
Dan perkasa disiplin.
Kita tidak mahu anak-anak pergi ke sekolah dalam keadaan takut.
Pada masa yang sama, kita tidak mahu guru menjalankan amanah dalam keadaan takut untuk mendidik.
GPMS Negeri Kedah menyeru KPM supaya melihat isu buli ini secara lebih menyeluruh dan tidak hanya bergantung kepada tindakan selepas kejadian berlaku.
Pencegahan mesti dimulakan dari bilik darjah.
Disiplin mesti dibudayakan.
Guru mesti dilindungi.
Mangsa mesti dibela.
Dan pelaku mesti dibimbing serta dikenakan tindakan yang sewajarnya.
Sudah tiba masanya Kerajaan dan Pembangkang duduk bersama, ahli Parlimen mencari titik persamaan dan semua pihak mengenepikan perbezaan politik demi keselamatan anak-anak kita.
Jangan tunggu lebih banyak mangsa sebelum kita bertindak.
HENTIKAN BULI.
PERKUKUH DISIPLIN.
LINDUNGI MURID.
LINDUNGI GURU.
Kapt. Bersekutu (PA) Amirul Syahir Musa
Timbalan Pengerusi
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Kedah









