SINGAPURA: Perdana Menteri, Lawrence Wong menzahirkan penghargaan kepada komuniti Islam di Singapura yang terus memastikan golongan memerlukan menerima bantuan sempena Aidiladha walaupun berdepan gangguan bekalan ternakan bagi ibadah korban.
Beliau berkata, ketabahan dan semangat kemasyarakatan yang dipamerkan umat Islam dalam melaksanakan ibadah itu mencerminkan hubungan kukuh dalam komuniti berkenaan.
“Ketika keluarga melaksanakan korban tahun ini, saya tersentuh dengan ketabahan dan semangat kemasyarakatan yang ditunjukkan semua pihak terbabit.
“Usaha ini mencerminkan ikatan kukuh dalam komuniti kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut beliau, Aidiladha kekal sebagai peristiwa penting buat masyarakat Islam yang disambut menerusi ibadah solat, pengorbanan serta amalan berkongsi rezeki dengan golongan lain.
Beliau turut berharap sambutan Aidiladha tahun ini membawa keberkatan kepada seluruh keluarga Islam di negara itu selain memperkukuh sifat belas ihsan dan semangat gotong-royong dalam masyarakat.





