TOKYO: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat di seluruh dunia perlu dikawal secara berhemah bagi mengelakkan teknologi itu menjadi alat baharu yang melebarkan jurang ketidaksamaan serta menumpukan kuasa kepada kelompok tertentu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun AI menawarkan pelbagai manfaat termasuk meningkatkan produktiviti dan merancakkan pembangunan ekonomi, teknologi itu turut membawa cabaran besar yang perlu ditangani secara bersama.
Menurutnya, kemajuan AI tidak seharusnya hanya memberi kelebihan kepada negara atau syarikat gergasi teknologi semata-mata sehingga menjejaskan kepentingan negara membangun.
“AI mempunyai potensi besar untuk mempercepatkan produktiviti, mengubah industri dan membuka peluang baharu kepada pembangunan.
“Namun, pada masa sama, ia juga boleh memperluaskan ketidaksamaan, menumpukan kuasa kepada segelintir pihak dan menyebabkan banyak masyarakat sukar menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku begitu pantas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31: Masa Depan Asia bertemakan Mendepani Ketidaktentuan Strategik di sini.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim.
Anwar berkata, hala tuju pembangunan AI tidak boleh ditentukan oleh kumpulan kecil yang mempunyai pengaruh besar terhadap teknologi berkenaan.
Sebaliknya, katanya, negara membangun perlu diberikan peranan lebih signifikan dalam merangka dasar, peraturan dan tadbir urus yang akan membentuk masa depan teknologi global.
“Kita mesti menolak sebarang bentuk baharu fasisme teknologi, sama ada ia datang atas nama pemodenan atau menjelma sebagai penjajahan digital.
“Negara-negara membangun perlu mempunyai suara yang lebih kuat dalam menentukan kerangka peraturan dan tadbir urus yang akan memberi kesan kepada kehidupan berbilion manusia pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan AI juga menunjukkan bahawa cabaran teknologi tidak boleh ditangani secara bersendirian oleh mana-mana negara.
Menurutnya, kerjasama rentas sempadan, kepercayaan bersama dan institusi yang mampu menyatukan pelbagai pihak berkepentingan menjadi elemen penting bagi memastikan manfaat teknologi dapat dinikmati secara adil.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia dan Jepun perlu terus memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi digital serta AI bagi memastikan inovasi yang dihasilkan kekal berteraskan rakyat dan bersifat inklusif.
Katanya, pendekatan itu penting supaya kemajuan teknologi bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.









