ASHGABAT: Malaysia dan Turkmenistan membuka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi serta tenaga apabila syarikat minyak nasional, Petronas memeterai kerjasama strategik dengan pihak berkuasa negara itu sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkmenistan.
Pemeteraian kerjasama itu disaksikan sendiri oleh Anwar bersama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov di Ashgabat, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang terjalin sejak puluhan tahun lalu.
Anwar berkata, kerjasama berkenaan menjadi satu pencapaian penting yang hadir ketika Malaysia dan Turkmenistan meraikan 30 tahun kerjasama dalam sektor tenaga.
Menurutnya, hubungan erat yang dibina sejak tiga dekad lalu terus menjadi asas kukuh kepada pelbagai bentuk kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
“Pencapaian ini hadir bersempena 30 tahun kerjasama Malaysia dan Turkmenistan dalam sektor tenaga yang menjadi antara tonggak penting hubungan dua hala sejak sekian lama.
“Kerjasama berkenaan bukan sahaja memperkukuh persahabatan antara Malaysia dan Turkmenistan, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan bakat serta pemindahan ilmu dan teknologi yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kerjasama baharu itu turut membuka ruang lebih luas kepada penglibatan strategik dalam pembangunan sumber tenaga masa depan.
Katanya, ia termasuk usaha meneroka potensi besar sektor gas asli di Turkmenistan yang dikenal pasti sebagai antara negara yang memiliki rizab gas terbesar di dunia.
Perkembangan itu dilihat mampu memperkukuh kedudukan Malaysia dalam sektor tenaga global selain memperluaskan peluang pelaburan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Pada masa sama, kerjasama berkenaan dijangka memberi manfaat kepada pembangunan modal insan menerusi perkongsian kepakaran dan teknologi dalam industri tenaga.
Anwar kini menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan yang bermula Khamis sebelum berlepas pulang ke tanah air selepas menghadiri beberapa program rasmi di Ashgabat.
Lawatan itu turut menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi Malaysia dengan negara Asia Tengah berkenaan.
Hubungan erat yang terus diperkasakan melalui sektor tenaga dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik pada masa hadapan.
Kerjasama yang dimeterai itu juga mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk terus memperluaskan jaringan ekonomi dan memperkukuh keselamatan tenaga demi manfaat bersama.









