ALOR SETAR: Sebuah wau gergasi setinggi lebih tiga meter atau 10 kaki dihiasi Jalur Gemilang dan bendera Kedah menjadi simbol patriotisme penduduk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Batu 10, Kota Sarang Semut, di sini sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Replika wau tradisional selebar lebih 4.5 meter atau 15 kaki dan seberat hampir 10 kilogram itu dihasilkan secara bergotong-royong oleh kira-kira 15 hingga 20 penduduk daripada pelbagai lapisan umur.
Pengerusi KRT Batu 10, Azhar Abu Bakar, 63, berkata projek berkenaan merupakan inisiatif komuniti sempena bulan kemerdekaan, selain menjadi platform untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan penduduk setempat.
“Ini merupakan anjuran KRT Batu 10 bersempena sambutan bulan kemerdekaan. Sebenarnya, kita sudah bermula sejak seminggu yang lalu dengan pemasangan Jalur Gemilang di sekitar kawasan ini dan malam ini acara kemuncak dengan memasang wau gergasi ini.
“Kami memilih wau sebagai simbolik kerana ia merupakan antara permainan tradisional negara. Gabungan dua bendera itu pula kerana Jalur Gemilang merupakan bendera Malaysia dan kita kini berada di negeri Kedah, sebab itu kami gabungkan,” katanya.
Beliau berkata, penghasilan wau itu bermula tiga hari lalu dengan kerja-kerja membina rangka menggunakan buluh, kayu dan batang paip sebelum bendera dijahit pada struktur berkenaan.
Katanya, kerja tersebut turut memerlukan penelitian bagi memastikan rangka wau seimbang dan kukuh sebelum didirikan di lokasi yang disediakan.
“Lapan helai bendera pelbagai saiz digunakan untuk membentuk corak pada bahagian badan dan sayap wau berkenaan,” katanya.
Menurut Azhar, aktiviti gotong-royong itu bukan sahaja menghasilkan sebuah replika wau gergasi, malah mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk.
“Sepanjang projek ini dijalankan, memang ramai kanak-kanak berhenti tengok. Tambahan pula apabila ada wau gergasi yang dihiasi Jalur Gemilang dan bendera Kedah ini.
“Kita yakin ia mampu menjadi daya tarikan kepada generasi muda untuk menanam semangat patriotisme dalam diri mereka,” katanya.
Tambah beliau, penduduk KRT Batu 10 turut menyahut seruan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kedah menerusi pelbagai program kenegaraan bagi mengukuhkan perpaduan dan semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat.
Inisiatif itu sekali gus membuktikan semangat kemerdekaan boleh dizahirkan menerusi kreativiti komuniti, selain menghidupkan kembali permainan tradisional sebagai medium menyatukan masyarakat.








