BUKIT KAYU HITAM – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melaksanakan proses mengenal pasti, tapisan keselamatan dan dokumentasi terhadap pelarian Rohingya sebagai persediaan penghantaran pulang mereka ke Myanmar.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses berkenaan dilakukan menerusi Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23.
Menurutnya, KDN bertindak sebagai agensi peneraju bersama beberapa agensi kawal selia berkaitan bagi memastikan setiap individu melalui proses semakan sebelum status mereka diputuskan.
“Tapisan akan dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia. Pada akhir proses itu, seseorang individu akan diberikan keputusan mengenai status pelariannya dan dokumen akan dikeluarkan bagi mengesahkan status tersebut.
“Selepas melalui proses ini, kita akan mengisi kuota yang disebut sebagai 5,000 itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah: Komuniti FELDA Sihat, Kedah Sejahtera di Felda Bukit Tangga di sini pada Khamis.
Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya dari Malaysia hasil rundingan antara kedua-dua kerajaan.
Menurutnya, keputusan berkenaan adalah sebahagian usaha kerajaan menangani isu Rohingya yang berlarutan di samping memastikan ketenteraman awam di Malaysia terus terpelihara.
Jelas Saifuddin Nasution, pihaknya juga akan menempatkan individu terlibat di satu lokasi khusus bagi melancarkan urusan dokumentasi, semakan keselamatan serta penyelarasan antara agensi.
Katanya, daripada 19 depot imigresen di seluruh negara yang kini menempatkan lebih 22,000 penghuni, kerajaan akan mengenal pasti 5,000 etnik Myanmar bagi proses penghantaran pulang.
“Proses ini perlu dilakukan dengan teliti kerana kita perlu memastikan status setiap individu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan selanjutnya diambil,” katanya.








