SINTOK – Universiti awam bukanlah sebuah “lubuk rasuah”, namun tetap berdepan risiko tinggi jenayah kolar putih kerana menguruskan dana besar, aset bernilai, serta pelbagai proses perolehan.
Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Kedah, PPj Syed Aswadi Syed Soffian dalam forum bertajuk “UA Lubuk Rasuah?” yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini.
Beliau berkata, walaupun universiti tidak boleh dilabel sebagai pusat rasuah, pihaknya tidak menafikan terdapat aduan rasmi mengenai salah laku melibatkan institusi pengajian tinggi termasuk UUM.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) IPK Kedah, DSP Nazaruddin Ibrahim mendedahkan majoriti kes jenayah kolar putih di institusi pendidikan berpunca daripada salah laku dalaman seperti tuntutan palsu, perolehan dan tender projek.
“Apabila tiada pemantauan rapi, rasuah mudah berlaku. Ada individu yang mula gelap mata dengan wang ringgit,” katanya.
Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed pula menjelaskan bahawa memang ada satu atau dua kes rasuah berlaku sebelum ini, namun ia tidak menggambarkan universiti sebagai sebuah lubuk rasuah.
Menurutnya, sebahagian masalah timbul akibat segelintir ketua jabatan yang kurang celik dalam hal kewangan dan tata kelola.
“Setiap ketua jabatan perlu berhati-hati, terutama ketika menandatangani dokumen rasmi,” katanya sambil menambah cabaran besar turut datang daripada persepsi masyarakat luar yang kadang-kala sengaja dimainkan pihak tertentu.









