SUNGAI PETANI – Tiga kotak pameran kaca di sebuah kedai emas dalam pasar raya di sini dipecahkan menggunakan tukul dan objek tajam sebelum empat lelaki melarikan barang kemas yang dianggarkan bernilai sehingga RM1 juta, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 malam apabila dua daripada empat suspek masuk ke dalam premis berkenaan, manakala dua lagi menunggu di motosikal kira-kira 20 meter dari lokasi.
Menurutnya, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian rompakan berlaku di kedai emas terbabit.
“Pada jam lebih kurang 7.20 malam, kita terima panggilan pertama daripada orang awam mengatakan ada insiden rompakan di sebuah kedai emas dalam bangunan pasar raya ini.
“Kita percaya suspek menaiki dua motosikal dan nilai kerugian masih dalam siasatan awal, tetapi anggaran pemilik antara RM700,000 hingga RM1 juta,” katanya ketika ditemui media.
Hanyan berkata, suspek dipercayai memakai topi keledar ketika melakukan rompakan sebelum melarikan diri selepas mengambil barang kemas dari kotak pameran yang dipecahkan.
Beliau turut mengesahkan terdapat orang awam yang cuba mengejar suspek selepas menyedari kejadian berkenaan, malah beberapa barang kemas ditemui dan diserahkan kepada pihak polis.
“Kita terima maklumat ada orang awam cuba membantu selepas kejadian. Dalam masa sama, beberapa barang kemas telah dijumpai dan dikembalikan kepada pihak polis selepas kejadian.
“Namun harus diingatkan perlu berhati-hati kerana khuatir mereka ini mungkin mempunyai senjata yang lebih bahaya daripada yang digunakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan polis.
Katanya, walaupun suspek memakai topi keledar atau menutup wajah, maklumat seperti bentuk badan, cara percakapan serta pergerakan mereka sebelum kejadian boleh membantu pihak berkuasa mengenal pasti suspek.
“Kita melihat apa saja maklumat yang boleh membantu kita. Walaupun mereka bertopeng, daripada paras rupa, bentuk badan, perbualan ataupun maklumat-maklumat yang lebih awal daripada sebelum kejadian, mungkin yang mereka nak salurkan, boleh terus hubungi,” katanya.
Difahamkan, dua pekerja wanita yang berada di dalam premis sempat menekan penggera keselamatan ketika kejadian berlaku sebelum insiden itu disedari orang awam di pasar raya berkenaan.
Hanyan berkata, siasatan awal turut mendapati kedai emas berkenaan pernah menjadi sasaran rompakan kira-kira dua tahun lalu dengan nilai kerugian yang lebih kurang sama.
Beliau berkata, premis berkenaan juga tidak dibekalkan pengawal keselamatan ketika kejadian.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan membabitkan pekerja atau orang awam dalam kejadian tersebut.
Menurutnya, polis kini meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pasar raya berkenaan bagi membantu mengenal pasti suspek dan mengesan pergerakan mereka.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.







