ALOR SETAR – Kontinjen Malaysia mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih 24 pengiktirafan dalam World Mathematics and Science Competition (WMSC) 2026 yang berlangsung di Burgas, Bulgaria.
Kejayaan itu merangkumi empat pingat emas, tiga perak, enam gangsa dan 11 merit menerusi penyertaan dalam bidang Matematik dan Sains bagi kategori Upper Primary, Junior Secondary serta Senior Secondary.
Antara pencapaian cemerlang ialah kejayaan Wong Zhang Zhe dari SJKC Chong Cheng, Pulau Pinang yang meraih dua pingat emas dalam bidang Matematik.
Dua lagi pingat emas disumbangkan oleh Muhammad Naufal dari SMKA Kedah dan Chinta Zara dari SBPI Sabak Bernam dalam bidang Sains.
Pencapaian berkenaan memperlihatkan keupayaan murid Malaysia bersaing dalam pertandingan akademik antarabangsa, selain mengembangkan potensi dalam bidang Matematik dan Sains.
Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPN Kedah) selaku penyelaras program penyertaan Malaysia memainkan peranan dalam menyelaras dan mengurus penyertaan delegasi negara ke pertandingan berkenaan.
Kepercayaan yang diberikan oleh pihak penganjur antarabangsa kepada JPN Kedah sejak sekian lama turut mencerminkan pengalaman serta keupayaan jabatan itu dalam mengendalikan penyertaan murid Malaysia di peringkat dunia.
Delegasi Malaysia diketuai Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat JPN Kedah, Haji Mohd Hafiz Mohd Salleh, yang turut memastikan penyertaan kontinjen negara berjalan lancar dan mencapai matlamat ditetapkan.









