BANDAR BAHARU – Penantian keluarga seorang warga emas yang hilang sejak tiga minggu lalu berakhir dengan berita menyedihkan apabila lelaki itu ditemukan meninggal dunia di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya di Kampung Air Puteh, Serdang, di sini pada Ahad.
Abdul Aziz Ali, 67, ditemukan oleh anaknya yang menyertai usaha pencarian keluarga kira-kira jam 5.50 petang, 25 Oktober lalu.
Lebih menyayat hati, mangsa ditemukan bersama skuter yang dinaikinya ketika dilaporkan hilang, di kawasan kebun sawit terbiar dan curam kira-kira 1.5 kilometer dari kediamannya.
Keua Polis Daerah Bandar Baharu, Superintenden Mohamad Sani Mat Ali berkata, pihaknya percaya mangsa berkemungkinan hilang kawalan ketika menunggang skuter sebelum terjatuh di kawasan berkenaan.
Menurutnya, ahli keluarga mangsa sebelum ini turut melakukan pencarian di kawasan sama, namun tidak menemukannya.
“Keluarga ada membuat pencarian di kawasan itu sebelum ini, tetapi tidak menemuinya, kemungkinan kerana mangsa terjatuh di kawasan tersorok dan tidak kelihatan,” katanya.
Difahamkan, laluan berkenaan juga bukan laluan yang biasa digunakan oleh warga emas itu sebelum kejadian.
Kehilangan Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan selepas dia tidak pulang ke rumah sejak 4 Oktober lalu.
Mangsa yang berdepan masalah ingatan itu kemudian mendorong ahli keluarganya membuat laporan polis bagi memaklumkan kehilangannya.
Menurut Mohamad Sani, Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baharu menerima maklumat mengenai penemuan mayat seorang lelaki pada 25 Oktober lalu.
Pemeriksaan di lokasi mengesahkan identiti mangsa sebagai Abdul Aziz berdasarkan penemuan skuter dan barangan peribadinya.
Beliau berkata, pemeriksaan awal di tempat kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Kes masih dalam siasatan. Polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya.









