KUALA NERANG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi perhatian terhadap kebajikan keluarga anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laskar Kanan Teknikal Maritim Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan yang terkorban ketika menjalankan tugas dalam operasi pemantauan dan kawalan sempadan pada Oktober lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mahu memastikan segala urusan berkaitan hak dan kebajikan waris Allahyarham, termasuk pencen terbitan serta kenaikan pangkat secara anumerta, diberikan perhatian sewajarnya.
Beliau berkata demikian ketika menziarahi keluarga Allahyarham di sini pada Ahad sebagai tanda keprihatinan terhadap pengorbanan anggota Maritim Malaysia yang berkhidmat mempertahankan keselamatan perairan negara.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah.
Dalam pertemuan itu, Saifuddin turut mendapatkan maklum balas berhubung kebajikan serta hak yang sepatutnya diterima keluarga Allahyarham.
Beliau berharap segala urusan berkaitan dapat disegerakan bagi memastikan kebajikan waris terpelihara selepas kehilangan insan tersayang.
Menteri Dalam Negeri itu turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham sebagai tanda sokongan dan keprihatinan bagi meringankan beban yang ditanggung.
Pada Oktober lalu, Mohd Roshaimi, 41, yang bertugas di Unit Perisikan Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kedah/Perlis, meninggal dunia selepas bot dinaiki ketika mengejar suspek pendatang asing tanpa izin (PATI) terlanggar bongkah konkrit di perairan Kuala Sungai Padang.
Insiden itu turut menyebabkan tiga anggota lain tercampak keluar dari bot dan mengalami kecederaan.
Bagaimanapun, dua anggota yang masih berada di dalam bot meneruskan usaha mengejar suspek meskipun cedera sehingga kesemua mereka berjaya ditahan.
Dalam kejadian itu, anggota terlibat turut melepaskan 10 das tembakan bagi mempertahankan diri.
Maritim Malaysia merakamkan penghargaan atas keprihatinan Menteri Dalam Negeri terhadap keluarga Allahyarham serta menegaskan pengorbanan anggota yang berbakti demi keselamatan perairan negara sentiasa dihargai.









