HULU SELANGOR – Seramai lapan individu dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air di Sungai Pertak di sini pada Isnin.
Kejadian kira-kira jam 5.55 petang itu turut menyebabkan 19 individu terkandas di beberapa lokasi, manakala tujuh lagi dilaporkan selamat.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, seramai 34 individu daripada kumpulan berasingan terlibat dalam kejadian berkenaan.
Menurutnya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi selepas menerima laporan berhubung insiden itu.
“Maklumat awal pada jam 6.37 petang membabitkan lima warga Yaman yang melakukan aktiviti pendakian, dengan seorang dilaporkan dihanyutkan arus manakala empat lagi selamat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ashrul Riezal berkata, pihak bomba menerima satu lagi laporan tiga minit kemudian membabitkan tujuh individu yang turut dihanyutkan arus deras.
Katanya, kumpulan kedua itu terdiri daripada seorang warga tempatan, seorang warga Sri Lanka, seorang warga Nepal dan empat warga India.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seramai 19 individu terkandas di tiga lokasi iaitu Lata Jerlus, Kem Luit dan Gunung Rajah.
Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya dibawa turun oleh pasukan penyelamat ke kawasan selamat.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bagi mengesan lapan individu yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras,” katanya.









