POKOK SENA – Di sebalik tembok penjara, tersimpan harapan seorang banduan lelaki untuk membina kehidupan baharu dengan berbekalkan kemahiran mengimpal yang dipelajarinya menerusi Program Peluang Kedua Anda (PEKA).
Dia yang mahu dikenali sebagai Azman, 30-an, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Pokok Sena, kini mampu mengimpal dan memotong plat besi selepas menyertai program latihan kemahiran itu sejak dua bulan lalu.
Lebih membanggakan, dia sudah mampu menghasilkan pelbagai produk seperti bangku, kerusi, meja, tempat meletakkan pasu bunga dan penyidai pakaian hasil ilmu yang diperoleh sepanjang mengikuti latihan berkenaan.
Menurutnya, peluang menyertai PEKA memberikan pengalaman baharu selain menyuntik semangat untuk memulakan kehidupan lebih baik selepas dibebaskan kelak.
“Saya masuk program ini sudah dua bulan. Banyak ilmu yang saya dapat, antaranya boleh mengimpal dan memotong plat.
“Kursus ini bagus kerana memberi semangat baharu kepada kami untuk bekerja dalam bidang ini apabila bebas nanti,” katanya ketika ditemui di Penjara Pokok Sena, di sini.
Bagi Azman, kemahiran yang dipelajari itu bukan sekadar mengisi masa sepanjang menjalani hukuman, sebaliknya menjadi bekalan untuk mencari peluang pekerjaan dan membina kehidupan selepas kembali ke pangkuan masyarakat.
Program PEKA yang dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia memberi peluang kepada banduan yang hampir tamat hukuman serta golongan berkaitan mengikuti latihan kemahiran sebagai persediaan sebelum mereka dibebaskan.
Penolong Penguasa Penjara Pokok Sena, Mohd Firdaus Nordin berkata, seramai 100 prospek mengikuti enam kumpulan latihan di bawah Program PEKA dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2026 di penjara berkenaan sepanjang tahun ini.
Menurutnya, latihan tersebut merangkumi bidang kemahiran basah, kimpalan, elektrik dan penyaman udara yang disusun mengikut siri serta tempoh pelaksanaan masing-masing.
Katanya, latihan kemahiran basah Siri 1 melibatkan 20 prospek bagi tempoh Januari hingga Jun dalam tiga bidang iaitu kerja mengikat bata, melepa dan pemasangan jubin, manakala latihan kimpalan Siri 1 disertai 15 prospek dari April hingga Jun.
Bagi siri seterusnya, latihan kemahiran basah Siri 2 melibatkan 20 prospek bagi tempoh Julai hingga Disember, sementara latihan kimpalan Siri 2, elektrik Siri 1 dan penyaman udara Siri 1 masing-masing disertai 15 prospek bagi tempoh Ogos hingga Oktober.
“Semua latihan kemahiran itu di bawah PEKA yang bertujuan membantu prospek membuat persediaan sebelum kembali kepada masyarakat selepas tamat menjalani hukuman,” katanya.
Peluang membina kemahiran dan merancang masa depan itu turut dinikmati banduan wanita menerusi Program Bengkel Amanah Penjara Pokok Sena yang menawarkan latihan dalam bidang pastri, makanan sejuk beku, pembuatan kerepek dan jahitan.
Seorang banduan wanita, Yati, 30-an berkata, latihan yang disertainya mengubah kemampuannya dalam penyediaan makanan apabila kini sudah boleh menghasilkan karipap pusing serta karipap menggunakan mesin.
“Dulu saya tidak tahu memasak, tetapi sekarang sudah tahu membuat tepung dan menyediakan inti lada hitam ayam serta daging.
“Kalau sudah bebas nanti, saya mahu jual karipap di luar. Ilmu yang diperoleh di sini diharap dapat membantu saya nanti,” katanya.
Bagi Azman dan Yati, kemahiran yang dipelajari di sebalik tembok penjara menjadi bekalan untuk melangkah ke fasa kehidupan seterusnya, dengan harapan peluang kedua yang diberikan mampu membuka jalan kepada masa depan lebih baik.









