JITRA – Saingan Liga Kedah 2026 yang membuka tirainya pada Sabtu dilihat sebagai platform terbaik untuk mencungkil bakat baharu bola sepak negeri dalam usaha membentuk skuad lebih mantap bagi menghadapi kempen Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2026 yang dijadual berlangsung September depan.
Penaung Persatuan Bolasepak Melayu Kedah Darul Aman (PBMK), Datuk Zuraidi Rahim berkata, pihaknya berharap kejohanan yang berlangsung selama tiga bulan itu mampu melahirkan pemain berkualiti untuk diserapkan ke dalam skuad Kedah bagi mengharungi saingan PERR musim ini.
Menurutnya, selepas sekadar mara ke peringkat suku akhir pada edisi lalu, PBMK kini meletakkan sasaran lebih tinggi iaitu menjulang kejuaraan PERR 2026.
“Pada tahun lepas kami hanya dapat melangkah ke saingan suku akhir sahaja dan kali ini saya menyasarkan mereka yang terpilih nanti dapat membantu Kedah muncul juara.
“Terdapat juga insentif menarik yang bakal menanti pemain pada musim ini, sekali gus diharap dapat menjadi pemangkin kepada mereka untuk memberikan persembahan terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pembukaan Liga Kedah 2026 yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP), di sini.
Mengulas lanjut, Zuraidi berkata, Liga Kedah 2026 menjadi medan terbaik untuk pemain-pemain muda membuktikan kemampuan masing-masing dan merebut peluang menyarung jersi negeri.
Katanya, PBMK bersama Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berusaha mewujudkan satu ekosistem pembangunan yang mampu membuka lebih banyak ruang kepada bakat-bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Melalui liga ini, kita mahu meniup semangat kepada pemain, khususnya anak muda yang mempunyai minat mendalam terhadap bola sepak.
“Mereka bukan sahaja berpeluang beraksi dalam kejohanan kompetitif, malah berpeluang menarik perhatian pencari bakat dan seterusnya menyertai skuad Piala Emas Raja-Raja Kedah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan penganjuran liga berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha menyemarakkan kembali perkembangan bola sepak di peringkat akar umbi di negeri ini.
“Penyertaan pasukan dari pelbagai daerah menunjukkan semangat dan minat yang tinggi terhadap sukan ini. Kita berharap platform seperti ini dapat membantu meningkatkan mutu bola sepak Kedah secara keseluruhan,” katanya.
Sebanyak 16 pasukan dari seluruh negeri menyertai Liga Kedah 2026 bagi merebut Piala Datuk Zuraidi Rahim (Piala DZR).
Perlawanan berlangsung di dua venue utama iaitu Stadium Mini MPKP, Jitra dan Stadium Mini Pendang.
Sementara itu, aksi pembukaan kejohanan berlangsung meriah apabila lebih 500 penyokong membanjiri Stadium Mini MPKP untuk menyaksikan pertembungan antara Jentayu FC dari Langkawi dan MADA FC dari Alor Setar.
Dalam perlawanan tersebut, Jentayu FC memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menewaskan MADA FC 3-2 dalam aksi yang berlangsung sengit dan menghiburkan penonton.
Kejohanan itu dijangka menjadi pentas penting untuk mengenal pasti pemain berpotensi yang mampu memperkukuh skuad Kedah dalam misi memburu kejuaraan PERR 2026.6 yang dijadual berlangsung September depan.






