TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai
Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bagi
memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan khidmat
masyarakat, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada atlet sepak takraw negara
melanjutkan pengajian di institusi itu.
MoU yang ditandatangani di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI di
sini turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, perkongsian kepakaran teknikal dan
sains sukan serta penyediaan pusat latihan kebangsaan bagi sukan sepak takraw.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md. Taff berkata kerjasama itu
mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong pembangunan modal insan negara
menerusi gabungan kecemerlangan akademik dan sukan.
“UPSI komited menawarkan peluang pendidikan kepada atlet-atlet di bawah PSM pada
semua peringkat pengajian, tertakluk kepada kelayakan akademik, selain menyediakan
fleksibiliti jadual yang selaras dengan keperluan latihan dan pertandingan mereka.
“Kerjasama ini bukan sekadar sebuah dokumen simbolik, sebaliknya akan diterjemahkan
melalui pelan tindakan yang konkrit dan berimpak tinggi demi manfaat kedua-dua institusi
serta pembangunan sukan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani
Memorandum Persefahaman antara UPSI dan PSM di sini hari ini.
Beliau berkata UPSI turut bersedia berkongsi kepakaran dalam bidang teknikal,
kejurulatihan, kepegawaian dan teknologi sukan, selain menyediakan kemudahan dan sumber
yang diperlukan bagi memastikan pelaksanaan kerjasama itu dipantau secara berterusan.
Md Amin berkata MoU berkenaan yang berkuat kuasa selama tiga tahun dan boleh
dilanjutkan atas persetujuan bersama dijangka menjadi pemangkin kepada pelaksanaan
Memorandum Perjanjian (MoA) yang lebih terperinci pada masa hadapan.
Sementara itu, Naib Presiden PSM, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berkata kerjasama
tersebut akan menyediakan laluan pendidikan formal yang lebih terjamin kepada atlet sepak
takraw negara dan negeri, termasuk daripada Sekolah Sukan Malaysia serta Sekolah Sukan
Negeri.
“Gabungan kepakaran sains sukan UPSI dan pengalaman teknikal PSM diyakini mampu
mempercepatkan pembangunan bakat, jurulatih dan pegawai teknikal bertauliah dalam sukan
sepak takraw.
Beliau turut berharap MoU berkenaan dapat menjadi model rujukan kepada kerjasama
strategik antara badan sukan kebangsaan dan institusi pengajian tinggi lain di negara ini.
“Pada masa yang sama, kerjasama ini selaras dengan usaha berterusan untuk memartabatkan
sepak takraw sebagai sukan warisan Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa,”
katanya.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan;
Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh; Presiden Sepak Takraw Elmshorn
Germany, Ismail Salleh; Wakil Perhubungan Sepak Takraw Elmshorn Germany, Salem
Ismail; Timbalan Presiden Sepak Takraw Emas Gemilang, Yaacob Ismail; Pendaftar UPSI,
Helmi Zaifura Abdul Rahman.






