SUNGAI PETANI – Polis Diraja Malaysa (PDRM) diarahkan mendapatkan maklumat tepat daripada pihak berkuasa Jepun berhubung penahanan lima rakyat Malaysia yang disyaki terbabit dalam penyeludupan kokain di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo.
Beliau berkata, maklumat lengkap perlu diperoleh bagi memastikan perkembangan kes itu dapat diketahui sebelum sebarang kenyataan lanjut dibuat kepada media.
Menurutnya, pihaknya akan berkongsi maklumat berkenaan sebaik sahaja menerima perkembangan terkini daripada pihak berkuasa Jepun.
“Saya telah minta Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan terperinci daripada pihak berkuasa Jepun,” katanya pada sidang akhbar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah di sini pada Selasa.
Media Jepun, Fuji News Network (FNN) sebelum ini melaporkan lima rakyat Malaysia, termasuk seorang wanita, ditahan pada Sabtu selepas pihak kastam mengesyaki mereka membawa dadah jenis kokain seberat kira-kira lima kilogram yang dianggarkan bernilai RM3.1 juta.
Menurut laporan itu, pihak kastam Jepun mengesyaki seorang daripada individu berkenaan selepas mendapati tapak kasutnya kelihatan lebih tebal daripada biasa.
Dadah berkenaan dipercayai disembunyikan di bawah lapisan dalam kasut selepas mereka tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Bagaimanapun, maklumat mengenai modus operandi itu adalah berdasarkan laporan media Jepun dan masih memerlukan pengesahan lanjut daripada pihak berkuasa berkaitan.
Saifuddin berkata, proses mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa luar negara perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan fakta sebenar sesuatu kes dikenal pasti.
Beliau turut memberikan contoh kes penahanan seorang pembantu juruterbang warga Malaysia di Jakarta serta rampasan 521 kilogram dadah daripada sebuah pesawat persendirian di Laos yang pada peringkat awal didakwa berasal dari Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata, pelaksanaan 17 syor hasil jawatankuasa bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi memperkukuh keselamatan KLIA serta kawalan sempadan akan diteruskan secara berperingkat dalam tiga fasa.
Katanya, antara langkah yang diberi perhatian ialah pemeriksaan menyeluruh terhadap penumpang dan bagasi bagi penerbangan ke destinasi yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi.
Beliau berkata, pemeriksaan 100 peratus itu akan dilaksanakan terhadap destinasi yang dikenal pasti sebagai kawasan panas berdasarkan penilaian risiko pihak berkuasa.
Menurutnya, Jepun bukan antara destinasi yang disenaraikan dalam kelompok berisiko tinggi berkenaan ketika senarai itu dikenal pasti.









