Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri bahawa Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Perlis di Bukit Chabang, Padang Besar dijangka siap tahun ini dan mula beroperasi pada tahun 2027. Selepas terbengkalai selama 12 tahun sejak 2013, projek ini akhirnya berjaya diselesaikan oleh Kerajaan MADANI dalam tempoh kurang dua tahun.
Ini membuktikan kesungguhan Kerajaan untuk menyelesaikan projek-projek sakit yang sekian lama tertangguh dan mengecewakan rakyat.
Paling penting, SSM Perlis akan menjadi pusat kecemerlangan sukan bagi zon utara, membuka peluang kepada lebih ramai anak muda dari Perlis dan negeri-negeri sekitarnya untuk menggilap bakat dalam persekitaran pendidikan dan latihan yang lebih sistematik.
Kumpulan pertama seramai 75 orang murid Tingkatan 1, terdiri daripada 52 murid lelaki dan 23 murid perempuan, dijangka memulakan persekolahan pada Jun 2027 dengan tumpuan kepada enam sukan iaitu badminton, bola jaring, bola sepak, memanah, olahraga dan sepak takraw. Pelaksanaan Fasa 2 dengan peruntukan RM104 juta di bawah RMK13 pula akan terus memperluas kapasiti serta cabang sukan yang ditawarkan.
Saya turut mengalu-alukan persiapan rapi Kementerian Pendidikan yang melaksanakan pengoperasian sekolah ini secara berfasa, bermula dengan penempatan pentadbir dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) pada Januari 2027, diikuti guru dan jurulatih pada Mac 2027 serta sesi pengenalpastian bakat (Talent Identification – TID) pada April 2027. Seramai 15 guru, 15 jurulatih dan 11 AKP akan ditempatkan bagi memastikan keseimbangan antara pencapaian akademik, kecemerlangan sukan, pembangunan sahsiah dan kesejahteraan murid.
Pencapaian Perlis meraih 17 pingat emas di SUKMA 2026 jelas menunjukkan bahawa bakat sukan di utara tanah air memang wujud dan hanya memerlukan prasarana serta sokongan yang tepat. Kementerian Belia dan Sukan akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan dan persatuan-persatuan sukan bagi memperkukuh laluan pembangunan atlet murid dari peringkat sekolah hingga ke pentas kebangsaan dan antarabangsa.
Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah memperlihatkan ketegasan beliau apabila mengarahkan projek ini diambil alih oleh syarikat milik kerajaan yang berkeupayaan pada April tahun lalu.
Tahniah juga kepada Menteri Pendidikan YB Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Kementerian Pendidikan atas usaha gigih memastikan sekolah ini akhirnya menjadi kenyataan.
Penantian 12 tahun kini berakhir, dan masanya telah tiba untuk anak muda di utara tanah air bangkit mengharumkan nama Perlis dan Malaysia.
YB Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Menteri Belia & Sukan
Ahli Parlimen Sungai Petani
30 Oktober 2026









