KULIM – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara Malaysia akan mematuhi serta melaksanakan apa juga keputusan mahkamah berhubung permohonan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengikut lunas undang-undang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya sudah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan pelaksanaan sebarang keputusan berkaitan perkara itu dibuat berdasarkan tertib perundangan.
Menurutnya, KDN telah merujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan penjelasan berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Katanya, rujukan itu dibuat selepas arahan pembebasan (Order of Discharge) yang dikeluarkan Pendaftar Mahkamah menimbulkan perbezaan tafsiran dari sudut undang-undang.
“Kuasa untuk memberikan pengampunan adalah di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, manakala tanggungjawab kami adalah melaksanakan keputusan itu mengikut acuan dan tertib undang-undang.
“Jadi, apabila pembayaran itu dibuat, kami merujuk kepada Peguam Negara untuk mendapatkan kepastian dari segi pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Semarak Kebudayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech Park (KHTP), di sini.
Saifuddin berkata, KDN dan Jabatan Penjara tertakluk kepada nasihat perundangan Peguam Negara selaku penasihat undang-undang kerajaan.
Menurutnya, pihak kementerian sudah melakukan segala yang perlu bagi melaksanakan apa juga keputusan, sama ada di peringkat Lembaga Pengampunan atau arahan mahkamah.
Beliau berkata, sekiranya wujud perbezaan tafsiran antara pandangan AGC dengan respons pihak peguam Najib, mahkamah merupakan pihak terbaik untuk menentukan pentafsiran undang-undang berkenaan.
“Seperti yang kita sedia maklum, ada satu pandangan undang-undang diberikan oleh Peguam Negara, kemudian ada respons balas daripada peguam Datuk Seri Najib.
“Kalau ada perbezaan begitu, seperti nasihat Peguam Negara, pentafsiran yang terbaik harus dibuat oleh mahkamah,” katanya.
Beliau menegaskan, apa juga keputusan yang dibuat kelak, KDN khususnya Jabatan Penjara akan melaksanakannya berdasarkan arahan undang-undang.
Semalam, media melaporkan AGC berpendirian pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib wajar ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong.









