TOKYO: Dunia ketika ini tidak berdepan kekurangan kuasa, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang mempunyai hala tuju jelas bagi mendepani pelbagai cabaran global yang semakin kompleks.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam suasana geopolitik yang tidak menentu, negara-negara dunia perlu memperkukuhkan kerjasama serta memperbaharui institusi sedia ada bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran sejagat terus terpelihara.
Berucap pada Forum Nikkei ke-31 bertajuk Navigating Strategic Uncertainty di sini hari ini, beliau menegaskan kepimpinan yang berkesan tidak boleh hanya bergantung kepada pengaruh dan kekuatan semata-mata.
Menurutnya, apa yang lebih penting ialah keupayaan menentukan arah yang betul ketika dunia berdepan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan.
“Pelaut pada zaman dahulu tidak mampu meramal ribut yang bakal tiba, tidak dapat mengawal arus dan tidak mengetahui apa yang menanti di sebalik ufuk.
“Namun mereka memiliki satu perkara yang penting iaitu arah yang jelas untuk meneruskan pelayaran,” katanya.
Anwar berkata, prinsip sama perlu diterapkan dalam landskap global masa kini apabila negara-negara dunia berdepan pelbagai cabaran termasuk ketegangan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi dan perubahan teknologi yang pesat.
Beliau berkata, institusi antarabangsa perlu diperkasa melalui reformasi dan pembaharuan, bukannya diketepikan atau diabaikan.
Menurutnya, pendekatan berasaskan kerjasama juga perlu diberi keutamaan berbanding perpecahan yang
hanya akan merencatkan usaha menangani isu global.
“Kita tidak kekurangan kuasa, tetapi kekurangan hala tuju yang jelas.
“Institusi memerlukan pembaharuan, kerjasama perlu mengatasi perpecahan dan kepimpinan memerlukan keberanian untuk bertindak, bukannya berundur daripada tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, jika prinsip-prinsip itu terus dipegang, cabaran yang dihadapi dunia hari ini boleh diterjemahkan menjadi peluang yang lebih baik pada masa depan.
Forum Nikkei ke-31 yang berlangsung di Tokyo menghimpunkan pemimpin kerajaan, tokoh korporat dan pakar dari pelbagai negara bagi membincangkan isu berkaitan masa depan Asia yang lebih berdaya tahan dan makmur.









