Kota Kinabalu: Kematangan politik, kewarasan dan kebijaksanaan dalam berpolitik perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan perpaduan rakyat serta semangat negara bangsa yang dibina sejak sekian lama kekal terpelihara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kepelbagaian kaum, budaya dan kepercayaan yang menjadi asas pembentukan Malaysia adalah kekuatan negara yang mesti dipertahankan oleh semua pihak.
Menurutnya, rakyat perlu menolak sebarang usaha yang boleh mencetuskan perpecahan serta menghakis semangat saling menghormati yang selama ini menjadi tunjang keharmonian negara.
“Kita mempunyai masyarakat yang pelbagai di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan latar belakang, suku kaum serta budaya yang berbeza.
“Justeru, kita memerlukan kematangan, kewarasan dan kebijaksanaan dalam politik untuk mempertahankan dan memperkukuhkan semangat negara bangsa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Negara Peringkat Kebangsaan 2026 di Kompleks Sukan Likas, di sini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar berkata, pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa tidak berlaku dengan mudah, sebaliknya hasil kebijaksanaan dan kesabaran tokoh terdahulu yang sanggup mengenepikan perbezaan demi masa depan negara.
Beliau berkata, pengasas negara termasuk Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj serta pemimpin dari Sabah dan Sarawak mempunyai semangat cintakan tanah air yang tinggi walaupun datang daripada latar belakang yang berbeza.
Katanya, tokoh seperti Tun Temenggong Jugah Barieng, Tun Datu Mustapha Datu Harun dan Tun Fuad Stephens memainkan peranan penting dalam menjayakan pembentukan Malaysia.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat meneruskan legasi perjuangan tokoh terdahulu dengan memelihara perpaduan serta tidak membiarkan sentimen perkauman atau kenegerian dijadikan alat untuk menyemai kebencian.
Menurutnya, perbuatan yang menanam bibit permusuhan dan gagal menghormati perbezaan hanya akan membawa kepada perpecahan dalam masyarakat.
Beliau berkata, majoriti rakyat memahami bahawa perpaduan adalah asas kepada kestabilan negara yang seterusnya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran bersama.
Anwar turut menegaskan bahawa semangat perpaduan perlu dipupuk melalui penghormatan terhadap kepelbagaian bahasa, budaya, kaum dan kepercayaan yang wujud dalam masyarakat.
Pada masa sama, beliau mahu platform komuniti seperti Rukun Tetangga dan Komuniti MADANI terus diperkasakan bagi mengeratkan hubungan antara kaum dan memperkukuh keharmonian sosial.
Beliau turut memuji Sabah yang disifatkannya sebagai contoh terbaik perpaduan apabila rakyat pelbagai suku kaum dan budaya dapat hidup dalam suasana harmoni serta saling menghormati.
Katanya, sambutan meriah yang dipamerkan pada program berkenaan membuktikan rakyat Sabah terus menjadi teladan dalam memelihara keharmonian dan kebersamaan dalam masyarakat majmuk.






