Kota Kinabalu: Kerajaan MADANI sedang mempertimbangkan penyediaan Geran Padanan berjumlah RM5 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkukuhkan semangat patriotisme, identiti nasional dan perpaduan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu antara lain akan digunakan untuk menghidupkan semula 10 Memorial Negarawan di seluruh negara selain mempercepat usaha pendigitalan khazanah sejarah negara.
Beliau berkata, inisiatif yang akan diselaraskan oleh Arkib Negara Malaysia itu turut merangkumi pelaksanaan pameran interaktif di lokasi tumpuan awam termasuk institusi pendidikan, pusat beli-belah dan hab pengangkutan.
“Usaha ini penting bagi memastikan generasi muda terus mengenali sejarah negara serta menghargai sumbangan tokoh yang membentuk Malaysia hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Negara Peringkat Kebangsaan 2026 di Kompleks Sukan Likas, di sini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dalam pada itu, Anwar turut mencadangkan kerajaan negeri Sabah menyediakan tapak yang sesuai bagi pembangunan Memorial Negarawan Sabah sebagai penghargaan kepada tokoh yang banyak berjasa kepada negeri dan negara.
Menurut beliau, kerajaan juga akan menyalurkan geran aktiviti RM10,000 kepada 189 Sekretariat Rukun Negara di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara untuk melaksanakan program kenegaraan, patriotisme dan perpaduan.
Selain itu, sebanyak 6,849 Kelab Rukun Negara di sekolah akan menerima geran RM5,000 bagi menggiatkan semula penghayatan prinsip Rukun Negara dalam kalangan pelajar.
Katanya, langkah itu dijangka melahirkan lebih ramai Duta Kecil Rukun Negara selain memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum.
“Ia juga akan mengaktifkan semula pelaksanaan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan sebagai platform yang lebih berkesan bagi menggalakkan interaksi dan integrasi nasional,” katanya.
Anwar berkata, semua inisiatif yang diperkenalkan itu bertujuan memastikan penghayatan terhadap Rukun Negara terus diperkasakan khususnya dalam kalangan generasi muda.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak mengambil mudah soal perpaduan kerana keamanan dan keharmonian yang dinikmati hari ini memerlukan usaha berterusan untuk dipelihara.
Katanya, pelbagai pengaruh yang boleh menggugat nilai kebersamaan dan mencetuskan perpecahan perlu ditangani dengan bijaksana agar semangat perpaduan negara terus kekal utuh.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perpaduan Negara atas usaha berterusan menyemarakkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat sejak penubuhannya.









