ALOR SETAR – Amalan makan nasi bersama ulam-ulaman, gemar bergerak aktif dan tidak suka menghabiskan masa dengan tidur pada waktu siang antara rutin harian yang diamalkan Bedah Salleh sehingga mampu kekal cergas pada usia 102 tahun.
Warga emas dari Kampung Baru, Tambak Bunga, Jalan Kuala Kedah itu masih lincah dan tidak betah duduk diam di rumah, malah gemar melakukan kerja-kerja ringan seperti mencabut rumput di laman.
Bagi Bedah, aktiviti fizikal sudah sebati dengan kehidupannya sejak muda apabila banyak menghabiskan masa bekerja di sawah dan menguruskan rumah tangga.
“Tok kerja, tanam padi dan banyak bergerak. Kalau tidur siang, badan jadi lemau.
“Tok makan nasi, ulam-ulam, pegaga dan pucuk mengkudu. Kalau makan gulai, tok ambil isi sahaja, kuah tidak ambil,” katanya ketika ditemui selepas memperbaharui MyKad Generasi Baharu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kedah, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah, Anak Bukit di sini pada Khamis.
Selain menggemari ulam-ulaman, Bedah turut mengamalkan pengambilan minuman tanpa susu seperti kopi O dan teh O.
Menurutnya, dia juga mengelakkan makanan berlemak dan lebih selesa memilih hidangan ringkas, termasuk ketika menghadiri majlis kenduri.
“Kalau pergi kenduri, tok makan nasi putih dengan acar limau dan ubi sahaja serta minum air kosong,” ujarnya.
Rutin pemakanan sederhana itu menjadi sebahagian daripada kebiasaan hidup Bedah yang masih mampu menguruskan banyak perkara sendiri meskipun usianya sudah melebihi satu abad.
Anaknya, Sopeah Majid, 80, berkata, ibunya yang tinggal bersamanya masih aktif dan sukar dipujuk untuk duduk berehat dalam tempoh lama.
Menurutnya, Bedah gemar melakukan kerja-kerja di sekitar rumah dan sering mencari sesuatu untuk dilakukan, termasuk mencabut rumput di laman.
“Bila hendak datang buat MyKad, dia seronok kerana memang suka keluar. Dia tidak suka terperap di dalam rumah dan tidak suka kalau tiada pergerakan,” katanya.
Katanya, sikap ibunya yang gemar bergerak itu turut terserlah apabila mereka membawanya ke JPN Kedah untuk memperbaharui MyKad buat kali keempat sepanjang hidupnya.
Sementara itu, seorang lagi anaknya, Ghazali A Majid, 76, berkata, meskipun ibunya mempunyai masalah darah tinggi dan perlu mengambil ubat, daya ingatan Bedah masih kuat.
Malah, menurutnya, ibunya masih mampu mengingati laluan perjalanan dan mengenali rumah kenalan atau saudara-mara yang pernah dikunjungi.
“Kalau pergi berjalan, dia boleh ingat jalan dan kenal rumah siapa. Kadang-kadang saya sendiri sudah lupa, tetapi ibu masih ingat,” katanya.
Bedah yang mempunyai dua anak, tujuh cucu dan tujuh cicit itu turut menyimpan pelbagai kenangan sepanjang kehidupannya, termasuk pengalaman ketika Perang Dunia Kedua sewaktu masih remaja.
Dia pernah melihat pesawat Jepun berada di ruang udara ketika zaman penjajahan, satu pengalaman yang masih segar dalam ingatannya sehingga kini.
Suaminya, Majid Saad, meninggal dunia pada 2013 ketika berusia 93 tahun akibat sakit tua.
Walaupun sudah berusia 102 tahun, Bedah terus menikmati kehidupannya dengan cara tersendiri, termasuk mengekalkan kebiasaan bergerak aktif dan memilih makanan yang digemarinya.
Kisah warga emas itu memperlihatkan bagaimana rutin harian yang diamalkan sejak muda terus menjadi sebahagian daripada kehidupannya hingga kini, biarpun faktor usia semakin meningkat.







