JITRA – Jentayu FC muncul juara Kedah League – Piala DZR 2026 selepas menewaskan Lone Jr FT 4-3 dalam perlawanan akhir yang berlangsung dramatik di Stadium Mini Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP), di sini pada Sabtu.
Perlawanan yang berlangsung pada jam 8.45 malam itu menyaksikan tujuh gol dihasilkan kedua-dua pasukan, termasuk aksi mendebarkan ketika masa tambahan sebelum Jentayu FC memastikan kemenangan.
Lone Jr FT membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi Ahmad Hakimey, namun Jentayu FC menyamakan kedudukan empat minit kemudian hasil jaringan Aidil Danial.
Lone Jr FT kembali di depan pada minit ke-23 menerusi Muhammad Fikri sebelum Faiz Hanif Adnan menyamakan kedudukan buat Jentayu FC pada minit ke-29.
Kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan sehingga tamat tempoh permainan sebenar, sekali gus menyaksikan perlawanan diteruskan ke masa tambahan.
Aidil Danial meletakkan Jentayu FC di depan menerusi jaringan keduanya pada minit ke-97 sebelum Faiz Hanif Adnan turut mencetak gol kedua peribadinya pada minit ke-108.
Lone Jr FT bagaimanapun terus memberikan tentangan apabila Muhd Syamer merapatkan jurang menerusi jaringan pada minit ke-110 dan seterusnya menjadikan kedudukan 4-3.
Bagaimanapun, Jentayu FC berjaya mempertahankan kelebihan tersebut sehingga wisel penamat untuk dinobatkan sebagai juara kejohanan berkenaan.
Kejayaan itu melengkapkan saingan Kedah League – Piala DZR yang dianjurkan buat tahun kedua berturut-turut selepas edisi sulung berlangsung pada 2025.
Jentayu FC berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM15,000, sementara naib juara kejohanan iaitu Lone Jr FC menerima RM6,000.
Tempat ketiga bersama pula Milik pasukan Mada FC dan Gaban Jerlun FC yang masing-masing dengan hadiah wang tunai RM1,500.
Perlawanan akhir tersebut turut diserikan dengan kehadiran barisan pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA) serta wakil ahli gabungan badan induk bola sepak negeri itu.
Penganjuran kejohanan berkenaan merupakan antara usaha memperkukuh pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi serta menyediakan platform persaingan kepada pasukan tempatan.









