Pauh Putra, 2 Jun – “Masuk dulu, kami bantu”.
Itu jaminan yang terus menjadi pegangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi, khususnya mereka yang berdepan kekangan kewangan dan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
Komitmen tersebut dizahirkan apabila UniMAP tampil membantu beberapa calon pelajar baharu yang berdepan kesukaran kewangan untuk membuat persediaan awal ke universiti, sekali gus membuktikan pendekatan proaktif universiti dalam menjaga kebajikan mahasiswa sejak peringkat awal kemasukan.
Antara yang menerima perhatian ialah Nur Umi Qamarina Qistina Mohd Iswadi dari Pendang, Kedah, yang ditawarkan Diploma Kejuruteraan Teknologi Bahan yang sebelum ini terpaksa memohon penangguhan pengajian selepas berdepan kekangan kewangan bagi persediaan awal ke kampus.
Difahamkan, beliau berasal daripada keluarga sederhana di mana bapa bekerja sebagai tukang masak dan ibu tidak bekerja, selain turut membantu keluarga dengan bekerja sambilan di kedai makan serta masih menetap di rumah sewa.
Seorang lagi pelajar ditawarkan Diploma Kejuruteraan Pembuatan. Edwin Chan Jun Hong dari Kodiang, Kedah,yang merupakan anak yatim, yang tinggal bersama bapa beliau yang bekerja kilang, menjadikan aspek kewangan sebagai cabaran utama sebelum memulakan pengajian.
Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, bersama pengurusan tertinggi universiti telah turun padang menziarahi sendiri pelajar terlibat bagi menilai keadaan serta keperluan mereka.
Menurut beliau, prinsip “masuk dulu, kami bantu” mencerminkan kesungguhan UniMAP dalam memastikan akses pendidikan tinggi tidak terhalang oleh faktor kewangan.
“Jika ada masalah kewangan, masuk dahulu ke UniMAP. Kita akan bantu melalui pelbagai saluran termasuk Bantuan Kasih UniMAP,” katanya ketika menyantuni calon-calon pelajar baharu UniMAP itu.
Beliau berkata bahawa setiap pelajar yang berjaya mendapat tempat di UniMAP wajar diberikan peluang yang adil untuk meneruskan pengajian tanpa dibatasi latar belakang ekonomi.
“Di UniMAP, kebajikan mahasiswa adalah komitmen berterusan kami. Tiada pelajar yang seharusnya tercicir hanya kerana kesukaran kewangan,”
“Dalam pada itu, UniMAP turut melaksanakan Inisiatif Bantuan Awal Pengajian yang telah diperkenalkan sejak tiga tahun lalu bagi membantu pelajar baharu membuat persediaan awal kemasukan ke kampus, meliputi kos perjalanan, keperluan asas, penginapan dan kelengkapan awal pengajian,” katanya.
Selain bantuan awal, universiti turut menyediakan pelbagai bentuk sokongan sepanjang pengajian termasuk bantuan kewangan, bantuan kecemasan, bantuan makanan, khidmat kaunseling, program pembangunan sahsiah serta sokongan kesejahteraan mental mahasiswa.
Pendekatan menyeluruh ini selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia) dalam memperkukuh akses pendidikan tinggi serta memastikan kebajikan pelajar terus menjadi keutamaan.









