KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meninjau Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM) sebagai sebahagian usaha memperkukuh keselamatan siber dan kedaulatan digital negara.
Dalam lawatan itu, beliau turut menyaksikan penubuhan Cyber Security Cryptology Development Centre (CSCDC) serta pelantikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah pusat berkenaan.
Anwar berkata, lawatan tersebut turut memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi kriptografi generasi baharu yang diterajui golongan muda tempatan.
“Lawatan ini turut mengetengahkan inisiatif Kriptografi Pasca-Kuantum (PQC) yang diterajui oleh bakat muda PTPKM melalui program PQC Sandbox, dalam usaha memperkukuh keupayaan keselamatan siber dan kriptologi negara.
“Generasi muda perlu terus menguasai teknologi strategik bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan digital negara sentiasa terpelihara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
PTPKM merupakan entiti utama negara yang bertanggungjawab menjalankan penyelidikan, pembangunan dan pengurusan sistem keselamatan siber serta kriptografi bagi melindungi kepentingan strategik negara.









